Followers

Saturday 30 March 2013

Cerpen : Tiada Lagi Tangisan

   PAGI yang sungguh cerah dan tenang. Aku memerhati keadaan halaman rumahku melalui jendela kamarku yang dilengkapi jeriji. Cuaca pagi itu sungguh menenangkan benak fikiranku yang berserabut dengan masalah kehidupan yang sudah ditakdirkan buatku.

   "Sofea!! Sofea!! Kau pekak ke hah?!" Suara mama menengkingku dari dapur menghentikan segala lamunanku. Aku mesti segera turun sebelum darah mama berderau lagi seperti hari-hari yang lalu. 

   "Ye, ma. Maaflah Sofea lambat turun tadi, ada apa?"  Aku memberanikan diri bertanya walaupun hatiku menjerit ketakutan.

   "Kau masih tanya aku ada apa? Kau tak nampak ke pinggan bertambun kat atas sinki tu? Tak reti nak basuh ke?" Jawab mama dengan lantang. 

   "Tapi ma, Sofea ada kelas tambahan. Nanti tak sempat pulak." Jawabku yang sememangnya tak mahu ketinggalan lagi dalam pelajaran. 

   "Ada aku kisah dengan extra kelas kau? Kau kalau pergi kelas tambahan pun tetap BODOH. Dah, buat kerja kau." Puan Maznah merangkap mama Sofea menjawab. Saja dia menekankan perkataan bodoh itu untuk menyindir anaknya, Sofea. Berdesing telinga aku mendengar sindiran mamaku itu. Dengan langkah yang lemah, aku menuju ke sinki untuk melakukan tugasanku itu.



   KEESOKAN harinya, aku pergi ke sekolah seperti biasa. Sebelum pulang ke rumah, aku menuju ke sepohon pokok sena di padang sekolah. Disitulah tempat aku mengulang kaji pelajaran dan menenangkan fikiran. 

   Tiba-tiba aku disergah oleh Julia, rakan karibku yang selama ini sanggup mendalami isi hati dan perasaanku,. "Kenapa dengan kau ni Sofea? Aku tengok kau tak macam orang lain. Orang lain happy je tapi kau ni pendiam. Aku tahu la kau ada masalah keluarga." Sapa Julia dengan panjang lebar. 

   Aku tersenyum seraya berkata "Kau tau tak Julia, orang yang banyak ketawa atau bercakap adalah orang yang kurang berwibawa." Jawabku dengan kata-kata yang pernah dilontarkan oleh khalifah Umar Al-Khattab suatu masa dahulu. Julia yang sememangnya sudah masak dengan perangaiku hanya mengangguk.

   Aku mengalihkan pandangan ke arah jam tangan yang berjenama Bonia pemberian terakhir dari papaku. Jam telah pun menunjukkan pukul 3 petang. Aku bingkas bangun meninggalkan Julia untuk ke perhentian bas. "Julia, esok kita jumpa lagi, ye. Assalamualaikum." Julia mengangguk dan menjawab salam dalam hati.



   "MANA kau pergi ni Sofea? Petang-petang macam ni baru kau nak balik?! Kau dah pandai lepak dengan kawan-kawan kau sekarang!" Tengking mama setibanya aku tiba di rumah.  

   "Ma, Sofea buat ulang kaji kat sekolah tadi sebab tu lambat sikit Sofea sampai rumah." Jawabku ringkas. 

   "Kau ni kan kalau aku suruh je buat kerja, kalau balik lambat je, takde alasan lain yang kau nak bagi. Asyik-asyik kelas tambahan je. Kau tu belajar banyak mana pun, kau tetap bodoh! Kau tahu tak Sofea, sebab kaulah suami aku mati!" Mama mula mengungkit peristiwa yang telah mengubah personalitiku. Hatiku terguris, kelopak mataku mula digenangi dengan manik-manik putih. Kesedihanku tidak dapat dibendung lagi. 

   "Sampai hati mama cakap macam tu dekat anak mama sendiri. Bukan Sofea yang mintak untuk  papa mati, ma." Jawabku dalam esak tangis. Aku bergegas meninggalkan mama untuk ke bilik. 



   SEMANGATKU untuk berjaya dalam peperiksaan SPM yang bakal bermula 2 bulan lagi berkobar-kobar. Aku akan buktikan bahawa kata-kata mama salah sama sekali. Inilah peluang untuk aku menafikan cemuhan mama yang aku bodoh dan tidak mampu berjaya.

   Hari-hari yang berlalu dalam hidupku, aku tempuhi dengan tabah walau ada ketikanya perasaan kecewa sering menyelubungi diri. Aku sudah lali diherdik, dimaki dan ditengking oleh mama atas kesalahanku yang tidak seberapa. 

   Pagi minggu itu, aku bangun awal untuk membasuh pakaianku dan pakaian mama yang dipakainya untuk ke sekolah setiap hari. Selesai membasuh,  aku mengemas rumah dari bilik air hingga ke ruang tamu. Ketika aku menyapu habuk di almari hiasan, pasu yang paling mama sayang tiba-tiba jtuh ke lantai. 

   "Powww!!" 

   Aku terkejut. 

   Mama yang leka menyemak kertas peperiksaan anak muridnya berjalan pantas ke arahku. "Ya, Allah. Kenapa dengan kau ni Sofea? Kau sengaja nak pecahkan pasu aku, ye? Kau memang nak buat aku naik darah?!!!" Tanpa belas kasihan, mama memukulku dengan rotan. 

   "Ma, jangan ma. Sakit, Ma. So....So.... Sofea tak sengaja." Mama tidak mengendahkan rayuanku. Mama terus memukulku seperti orang yang hilang kewarasan diri. Aku redha.

   Malam itu, selesai mengulang kaji pelajaran dan solat sunat Tahajud. Aku melihat badanku yang calar-balar dirotan oleh mama. Tengah hari tadi. Aku merebahkan diri perlahan-lahan ke atas katil. Fikiranku menerawang. Kembali kepada peristiwa silam yang hampir 2 tahun berlalu. Peristiwa yang telah meragut nyawa papa dan mengubah diri mama. 

   Ketika itu, kami sekeluarga berkelah di pantai Bukit Kluang. Aku yang leka mandi-manda tiba-tiba lemas. Tanpaku sedari aku berada diparas air yang dalam. Papa yang menyedari bergegas menyelamatkanku. Papa memberikan pelampung kepadaku. Rupa-rupanya, papa telah ditarik oleh pusaran air. 

   Peristiwa inilah yang membuatkan hidupku ditemani air mata saban malam dan mrmbuatkan mama meng'anak tiri'kan anak yang dikandungnya. Hanya tangisan dan kesedihan yang sudi menemani hidupku setiap hari.



   DUA bulan berlalu, kini tibalah masa untukku berjuang menentukan masa depanku. Aku nekad untuk mencapai keputusan yang cemerlang. Tekadku ini hanya untuk mama yangku sayangi. Di waktu petang, aku akan mengulang kaji pelajaran. Akhirnya, peperiksaan SPM sudah pun berakhir.

   Sekarang aku sudah bisa menghela nafas lega kerana kehidupanku tidak lagi sesibuk dahulu. Sekarang masanya untuk aku menguruskan hal di rumah semasa mama berkerja. 

   "Ting tong.... ting tong.... ting tong.." Loceng ditekan bertalu-talu. 

   Aku segera menuju ke pintu dan membukanya. Riak wajah mama kelihatan letih. "Kau pekak ke Sofea? Berkali-kali aku tekan. Huh!" Keluh mama.

   "Maaf ma. Sofea kat dapur tadi. Ma, esok keputusan SPM keluar. Sofea harap mama boleh temankan Sofea ke sekolah." ajakku. 

   "Aku takde masa. Kalau kau nak pergi, pergi sorang-sorang. Tapi ingat, kalau kau tak cemerlang jangan harap kau nak balik rumah ni lagi!" Mama bingkas bangun menuju ke biliknya meninggalkan aku yang mula menangis mengenangkan kata-kata mama yang berbaur ugutan.



   PAGI itu, setelah bersiap dan bersarapan, Julia telah menjemputku dengan kereta Marcedes Benz kepunyaan papanya untuk ke sekolah. Tiba di Dewan Ismail, dewan khas sekolahku, aku diberikan pujian oleh guru dan rakan-rakanku yang lain. Sejurus selepas itu, Puan Norhayati Mohd Noor berjalan ke arahku dengan senyuman yang lebar seraya menghulurkan sehelai kertas. Setelah melihat isinya, aku melompat kegirangan. Alhamdulillah, aku berjaya memperoleh 12A1. Hatiku berbunga riang kerana aku sudah tidak sabar lagi untuk melihat reaksi mama. 

   Julia hanya menghantarku di seberang jalan hadapan villa  kediamanku kerana dia tergesa-gesa untuk ke rumah. Turun dari kereta, aku terus menghayun langkah menuju ke rumah tanpa menoleh kiri dan kanan.  

   Tiba-tiba... 

   "Dumm!!" Aku terpelanting. Mataku berpinar. Kulihat sesusuk tubuh yang amat aku kenali sedang berlari ke arahku dengan pantas. 

   "Ma....So....Sofea berjaya buktikan yang Sofea tak bodoh, ma." Ungkapku tergagap. 

   "Sofea, ampunkan mama. Sofea, mama janji akan jaga Sofea dengan baik lepas ni." Rayu mama dengan linangan air mata. Aku hanya tersenyum lantas nyawaku ditarik oleh Malaikat Izrail perlahan-lahan.

   Kini, tiada lagi tangisan dalam Sofea. Semuanya hanya tinggal kenangan yang hanya bisa dikenang oleh mama yang akan meneruskan kehidupan tanpa insan yang tersayang. Namun, bagi Sofea tiada lagi kasih yang seharum kasih mama.

No comments:

Post a Comment